20100329

Kerjasama masyarakat hapus denggi















Sinar Harian 28 Mac 2010

SENAWANG – Setiap masyarakat memainkan peranan dan perlu bekerjasama membanteras wabak denggi daripada menular di negeri ini.

Penolong Epidemiologi Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Dr Mustafa Bakri berkata, wabak denggi memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak.


Menurutnya, usaha mengekang wabak itu dapat dilakukan melalui langkah pencegahan bersama.

“Masalah denggi ini tidak akan hilang dan apabila sampai waktunya akan menjadi wabak lebih besar sekiranya kita tidak bersama memainkan peranan.

“Wabak ini tidak ada ubat untuk menghapuskannya, melainkan cara pengawalan dan penjagaan dilakukan,” katanya pada majlis perasmian Kempen Anti Denggi dan Pelancaran Sukarelawan Combi Taman Alamanda.

Program itu anjuran bersama pelbagai pihak, Taman Alamanda, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Pelatih Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Kelas al-Quran Fardu Ain Taman Alamanda, Hospital Pakar Seremban dan sebagainya.

Menurutnya, masih terdapat segelintir masyarakat tidak memandang serius berhubung isu denggi.

Menurutnya, terdapat penduduk tidak membenarkan jabatan membuat semburan asap di rumah mereka sekalipun hasrat jabatan mahu membantu masyarakat mengelakkan diri daripada dijangkiti wabak terbabit.

Sementara itu, menurutnya, terdapat rumah kosong yang dibiarkan dalam tempoh lama turut mengundang kepada masalah tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Kita perlu main peranan terutama dalam soal menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing dan memastikan tiada bekas yang boleh dijadikan tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7244274.asp